Selepas hujan pertama turun, seluruh kawasan berubah wajah. Pokok-pokok yang layu kembali segar, sawah padi menjadi hijau subur, dan bunga-bunga liar mula berkembang. Udara terasa lebih bersih, dengan bau tanah basah yang menyegarkan. Bunyi hujan yang menitik di atas atap menjadi irama semula jadi yang menenangkan.
Musim hujan membawa kesejukan yang mendamaikan. Suasana berkabus di waktu pagi menjadikan kampung seperti dalam lukisan. Waktu ini juga sesuai untuk berkumpul di rumah, menikmati secawan kopi panas sambil berbual dengan keluarga dan jiran.
Namun, musim hujan ini turut memberi cabaran di mana jalan kampung yang tidak berturap sering kali menjadi becak dan licin. Perjalanan ke sekolah atau ke pekan menjadi lebih sukar, terutama bagi mereka yang menggunakan motosikal atau kereta. Bagi yang menggunakan perahu pula, keadaan air sungai yang besar dan deras menyukarkan perjalanan.
Di kawasan yang rendah, hujan lebat boleh menyebabkan banjir kilat. Sawah padi dan ladang yang terlalu banyak menerima air kadangkala mengalami kerosakan, menyebabkan petani mengalami kerugian. Hakisan tanah juga menjadi masalah, terutama di kawasan berbukit.
Bagi kami di Naa Buat, salah satu cabarannya adalah pakaian yang dibasuh tidak akan kering. Ini menyebabkan pakaian yang dijemur semakin bertimbun dan ampaian menjadi penuh. Abang saya juga terpaksa bersengkang mata setiap malam untuk memastikan perahu yang berada di pengkalan selamat dari air bah.
No comments:
Post a Comment