Thursday, 12 June 2025

Bermalam di Jiam Senuring: Menanti Ikan Bertelur



Pernahkah kamu tidur di tepi sungai, hanya beralaskan tikar dan berselimut bintang? (Walaupun kenyataannya malam itu kami berselimutkan selimut kerana kesejukan) Malam itu, kami nekad untuk bermalam di Jiam Senuring, di atas hamparan batu karangan yang sejuk dek air sungai yang tak pernah jemu mengalir.

Kami bukan sekadar bermalam atau mahu 'healing'. Tujuan kami lebih istimewa iaitu mahu menyaksikan sendiri detik ikan bertelur. Kata orang tua, bila musim tiba terutamanya waktu kemarau, ikan akan naik ke kawasan berbatu cetek seperti di Jiam Senuring untuk melepaskan benih. Dan malam itu, kami pun bersedia dengan tikar, bantal, selimut semua dibawa, seolah-olah mahu lena di bilik hotel lima bintang, cuma kali ini silingnya langit terbuka luas.

Suhu malam mula jatuh. Angin dari celah batu menyelinap masuk ke dalam selimut. Kami duduk rapat-rapat di sisi unggun api yang kecil untuk memecah dingin malam sambil mendengar irama alam. Jeram yang tak berhenti mengalir deras, unggas yang sesekali menyahut entah dari ceruk mana. Suasananya sunyi, tapi tidak kosong.

Perut mula berlagu, dan seperti biasalah, menu istimewa ekspedisi kami, maggi! Dimasak perlahan-lahan dalam periuk kecil, kuahnya panas, rasanya luar biasa. Mungkin kerana perut lapar. Atau mungkin kerana makan di tengah alam ciptaan Tuhan ini memang beri rasa lain.

Kami tunggu. Mata tajam memerhati gerak air. Tapi malam itu, rezeki belum menyebelahi kami. Tiada seekor ikan pun muncul untuk bertelur. Sunyi tetap sunyi. Tapi, tiada rasa kecewa.

Kerana hakikatnya, malam itu bukan sekadar tentang ikan. Tetapi keseronokan tidur di atas batu, memasak dengan unggun api, dan merasa malam yang sebenar. Tanpa bunyi enjin, tanpa lampu jalan. Hanya cahaya bulan dan bunyi alam menjadi teman.

Kami mungkin pulang tanpa cerita tentang ikan bertelur. Tapi kami bawa pulang satu kisah yang jauh lebih mahal iaitu kisah tentang malam yang sunyi, damai dan penuh rasa syukur. 😃🥰🥰




 

Wednesday, 4 June 2025

Perkelahan Kemenangan Warga Long Sinung di Naa Buat



Pada penghujung bulan Mei 2025, Naa Buat sekali lagi menjadi lokasi pilihan bagi warga Long Sinung yang datang beramai-ramai untuk berkelah sempena meraikan kemenangan mereka dalam sambutan Paska di Long Aton.

Seawal pagi, kawasan Naa Buat sudah dipenuhi dengan keceriaan. Kaum bapa sibuk memanggang daging dan ikan di atas bara api sambil sesekali bergurau senda dan bertukar cerita. Kaum ibu pula tidak kurang sibuknya mengatur makanan, membahagikan lauk-pauk dan memastikan semua orang mendapat bahagian masing-masing. Bau masakan yang enak menyemarakkan suasana.

Kanak-kanak seperti biasa tidak sabar-sabar menunggu. Sebaik sahaja dibenarkan, mereka berlari ke sungai dan terus terjun ke dalam air. Gelak tawa dan jeritan keseronokan bergema di sepanjang tebing sungai, menghidupkan lagi suasana yang indah itu.

Di atas batu karangan, suasana menjadi semakin meriah. Ada yang mengambil peluang untuk berkaraoke bagi menghiburkan semua yang hadir dengan nyanyian suka ria. Beberapa keluarga duduk bersantai di bawah naungan pokok, menikmati juadah sambil berbual-bual dan bergelak ketawa.

Perkelahan ini bukan sahaja untuk meraikan kemenangan tetapi juga menjadi ruang untuk mengeratkan lagi hubungan antara warga Long Sinung. Dalam suasana alam yang damai, mereka berkumpul bukan sekadar untuk makan dan bersuka ria tetapi untuk menyulam kasih sayang dan mengukuhkan semangat kekeluargaan.