Jika ada yang merancang untuk datang ke Naa Buat, saya syorkan masa yang paling best untuk anda datang.
MUSIM BUAH
Biasanya sekitar bulan Februari, Naa Buat akan dipenuhi dengan
buah-buahan. Pelbagai jenis buah boleh dinikmati seperti durian, rambutan,
langsat dan buah yang paling istimewa dan menjadi pilihan ramai tentu buah
dabai.
Suasa ketika ini sangat meriah. Pagi dimulakan dengan mencari buah durian seakan-akan bunyi buah gugur itulah yang menggantikan bunyi alarm. Perahu penduduk kampung akan menjadi sangat sibuk ke hulur dan hilir mencari buah durian di kebun/dusun masing-masing. Kadang-kadang, kita terpaksa berkhemah berdekatan dengan pohon durian kerana takut dicuri oleh orang lain.
Pengunjung boleh merasai pengalaman menikmati buah segar dari pokok yang didambakan semua orang. Apatah lagi bila dimakan terus di bawah pohonnya. Nikmat itu sangat indah sekali.
MUSIM MENUAI
Biasanya sekitar bulan Februari hingga April, bergantung dengan masa
padi ditanam. Apabila padi masak menguning, suasana di Naa Buat berubah menjadi
hidup, bermakna dan penuh semangat.
Awal-awal pagi sudah bangun menyediakan segala perlengkapan untuk menuai. Sawah yang selama ini menghijau bertukar menjadi kuning keemasan. Suasana akan menjadi riuh dengan suara penduduk bergotong-royong menuai padi. Jika penat, berehat sebentar di pondok kecil sambil minum kopi panas.
Pengunjung boleh melihat sendiri proses menuai padi kampung, memahami kehidupan sebenar petani serta merasakan kehidupan yang berpaksikan alam.
MUSIM KEMARAU
Pada musim ini biasanya pelbagai aktiviti luar yang boleh dibuat.
Kebiasaannya berlaku sekita Jun hingga September, walaupun tempohnya boleh berubah
setiap tahun.
Berkelah, berkhemah, mandi dan mencari ikan antara aktiviti yang paling digemari pada musim kemarau.
Pengunjung pasti terpesona dengan pemandangan Sungai yang jernih, hamparan batu kerangan yang memukau serta langit yang penuh dengan Bintang pada waktu malam.



No comments:
Post a Comment