Monday, 12 January 2026

Adat Pateu: Berkongsi Rezeki, Mengikat Kasih


Zaman semakin berubah dan bersama perubahan itu, banyak adat lama perlahan-lahan semakin dilupakan. Bukan kerana adat itu tidak baik tetapi kerana cara hidup kita hari ini sudah tidak sama seperti dahulu. Salah satu adat yang sering bermain di fikiran saya ialah Adat Pateu iaitu adat berkongsi rezeki sesama keluarga dan komuniti.

Semasa kecil dahulu, saya selalu melihat mendiang bapa saya mengamalkan adat ini. Setiap kali beliau pulang dari hutan dengan hasil buruan seperti babi hutan, rusa atau haiwan lain, daging itu tidak pernah disimpan untuk keluarga kami sahaja. Sebaliknya, ia akan dibahagikan kepada saudara-mara dan jiran terdekat yang tinggal berdekatan.

Bukan itu sahaja. Hasil tanaman seperti sayur-sayuran kampung dan buah-buahan juga turut dikongsi. Jika kebun berbuah lebat atau sayur di ladang menjadi, hasilnya akan diagihkan tanpa diminta. Hari ini kami memberi, esok mungkin giliran kami menerima.

Apabila saudara atau jiran mendapat hasil buruan atau hasil tanaman pula, mereka akan melakukan perkara yang sama iaitu memberi kembali kepada kami. Begitulah kitaran Adat Pateu. Tidak pernah berkira, tidak pernah mengungkit. Semuanya dilakukan dengan hati yang ikhlas.

Adat Pateu bukan sekadar tentang daging, sayur atau buah-buahan. Ia adalah tentang nilai hidup, tentang rasa saling bergantung dan menjaga antara satu sama lain. Adat ini mengajar kami bahawa rezeki tidak akan berkurang apabila dikongsi malah menjadi lebih bermakna.

Hari ini, adat ini semakin jarang diamalkan. Mungkin kerana kehidupan moden menjadikan kita lebih sibuk atau kerana kita sudah terlalu biasa membeli segala-galanya. Namun nilai Adat Pateu itu masih relevan dan wajar dikenang.

Selagi kisah-kisah ini masih diceritakan, Adat Pateu belum hilang sepenuhnya. Ia hidup dalam ingatan, dalam tulisan dan dalam harapan agar generasi akan datang memahami bahawa berkongsi rezeki adalah asas kepada hidup bermasyarakat.

No comments:

Post a Comment