Friday, 16 January 2026

Keluyung: Gotong-royong tanpa berkira

 

Penduduk kampung Long Sinung sedang 'keluyung' membersihkan kawasan perkuburan lama.

Selain Adat Pateu, satu lagi adat lama yang semakin jarang diamalkan ialah Adat Keluyung. Keluyung membawa maksud gotong-royong, di mana kerja dilakukan bersama-sama tanpa gaji dan tanpa sebarang ganjaran.

Dahulu, Adat Keluyung sangat kuat dalam kehidupan masyarakat. Jika ada yang membuka ladang, membina rumah, membersihkan kebun atau mengadakan majlis, orang kampung akan datang membantu dengan sukarela. Tidak ditanya upah, tidak dihitung masa. Yang penting, kerja siap dan hubungan sesama komuniti terjaga.

Keluyung lahir daripada rasa kebersamaan. Apabila seorang memerlukan bantuan, yang lain datang membantu tanpa syarat. Kerja berat dipikul bersama, susah senang dikongsi bersama.

Namun hari ini, amalan ini semakin berubah. Gotong-royong tanpa ganjaran semakin jarang berlaku. Sebaliknya, yang lebih biasa diamalkan ialah “bayak” atau “nyuwak”.

Dalam amalan bayak atau nyuwak, bantuan yang diberikan perlu diganti sama ada dalam bentuk tenaga, benda lain yang diminta, atau duit. Contohnya, hari ini orang datang bekerja di ladang kita, maka pada masa lain kita perlu bekerja di ladang mereka, atau menggantinya dengan hasil kebun, barangan tertentu, atau bayaran.

Hubungan kerjasama masih ada, tetapi sifatnya sudah berbeza. Bayak dan nyuwak lebih kepada pertukaran, manakala Keluyung dahulu lebih kepada keikhlasan.

Perubahan ini bukan sesuatu yang salah. Zaman berubah, keperluan hidup semakin mencabar, dan masa menjadi semakin bernilai. Namun bezanya jelas. Keluyung dilakukan tanpa berkira, bayak dan nyuwak dilakukan dengan persetujuan ganti.

Walaupun begitu, nilai saling membantu itu masih wujud. Mungkin yang penting ialah memastikan semangat kebersamaan tidak hilang sepenuhnya, walaupun bentuk amalan sudah berubah.

Selagi kita masih mengenal dan menyebut Adat Keluyung, adat itu belum benar-benar lenyap. Ia tinggal sebagai peringatan bahawa suatu ketika dahulu, masyarakat hidup bukan kerana ganjaran, tetapi kerana rasa tanggungjawab terhadap satu sama lain.


Monday, 12 January 2026

Adat Pateu: Berkongsi Rezeki, Mengikat Kasih


Zaman semakin berubah dan bersama perubahan itu, banyak adat lama perlahan-lahan semakin dilupakan. Bukan kerana adat itu tidak baik tetapi kerana cara hidup kita hari ini sudah tidak sama seperti dahulu. Salah satu adat yang sering bermain di fikiran saya ialah Adat Pateu iaitu adat berkongsi rezeki sesama keluarga dan komuniti.

Semasa kecil dahulu, saya selalu melihat mendiang bapa saya mengamalkan adat ini. Setiap kali beliau pulang dari hutan dengan hasil buruan seperti babi hutan, rusa atau haiwan lain, daging itu tidak pernah disimpan untuk keluarga kami sahaja. Sebaliknya, ia akan dibahagikan kepada saudara-mara dan jiran terdekat yang tinggal berdekatan.

Bukan itu sahaja. Hasil tanaman seperti sayur-sayuran kampung dan buah-buahan juga turut dikongsi. Jika kebun berbuah lebat atau sayur di ladang menjadi, hasilnya akan diagihkan tanpa diminta. Hari ini kami memberi, esok mungkin giliran kami menerima.

Apabila saudara atau jiran mendapat hasil buruan atau hasil tanaman pula, mereka akan melakukan perkara yang sama iaitu memberi kembali kepada kami. Begitulah kitaran Adat Pateu. Tidak pernah berkira, tidak pernah mengungkit. Semuanya dilakukan dengan hati yang ikhlas.

Adat Pateu bukan sekadar tentang daging, sayur atau buah-buahan. Ia adalah tentang nilai hidup, tentang rasa saling bergantung dan menjaga antara satu sama lain. Adat ini mengajar kami bahawa rezeki tidak akan berkurang apabila dikongsi malah menjadi lebih bermakna.

Hari ini, adat ini semakin jarang diamalkan. Mungkin kerana kehidupan moden menjadikan kita lebih sibuk atau kerana kita sudah terlalu biasa membeli segala-galanya. Namun nilai Adat Pateu itu masih relevan dan wajar dikenang.

Selagi kisah-kisah ini masih diceritakan, Adat Pateu belum hilang sepenuhnya. Ia hidup dalam ingatan, dalam tulisan dan dalam harapan agar generasi akan datang memahami bahawa berkongsi rezeki adalah asas kepada hidup bermasyarakat.