Sunday, 24 August 2025

Cendawan Buah: Rezeki Hutan Semasa Musim Hujan

 



Setiap kali selepas musim hujan, saya teringat kenangan zaman kecil di kampung. Waktu itu, orang tua-tua selalu berpesan: “Kalau tanah sudah lembap dan daun gugur banyak, nanti cendawan buah akan keluar.”

Benar kata mereka. Pagi-pagi, saya ikut ibu berjalan ke kebun durian di tepi rumah. Dari jauh, nampak tompokan kecil berwarna menyembul di celah daun kering. Hati pun jadi girang. Tandanya rezeki hutan sudah datang.

Mengutip cendawan ini bukan kerja yang mudah tetapi ianya sangat menyeronokkan. Kena hati-hati supaya batangnya tidak patah, dan pilih yang segar. Kadang-kadang tangan kotor dengan tanah tetapi keseronokan itu lebih daripada segalanya.

Balik ke rumah, cendawan ini dimasak ringkas saja. Ada kalanya ibu menumis dengan bawang dan sedikit ikan bilis, ada juga yang dimasak kuah terjun saja dengan sedikit garam. Rasanya lembut, manis dan punya aroma hutan yang sukar digambarkan. Makan dengan nasi panas-panas memang terasa nikmatnya.

Apabila membeli cendawan buah ini dari penduduk kampung tadi, memori semasa zaman kanak-kanak tiba-tiba menerpa kembali. Ia mengingatkan saya tentang kehidupan kampung yang sederhana, tentang bagaimana alam selalu memberi rezeki kepada mereka yang tahu menghargainya.


Thursday, 14 August 2025

MUSIM MENUGAL: PELUH, TAWA DAN DOA BERCAMPUR MENJADI SATU

 




Di kampung, bunyi ayam berkokok menjadi alarm semula jadi. Pagi-pagi, kabus masih melekat di puncak bukit dan udara segar yang menyapa membuatkan semangat berkobar. Hari ini bukan hari biasa. Hari ini adalah hari menugal huma.

Bagi yang belum tahu, menugal ialah cara tradisional menanam padi bukit. Kaedah ini digunakan sejak zaman nenek moyang kami. Tiada mesin, tiada jentera moden. Hanya kayu tugal, benih padi, dan gotong-royong penduduk kampung.

Seawal subuh, kaum lelaki sudah mengasah hujung kayu tugal iaitu sebatang kayu panjang dengan hujung runcing yang digunakan untuk membuat lubang di tanah. Kaum wanita pula sibuk menimbang dan membahagi benih padi ke dalam bakul rotan. Semuanya dilakukan sambil bergurau dan ketawa. Suasana ketika ini menjadi riuh tapi penuh mesra.

Apabila matahari mula naik, barisan penugal sudah tersusun. Lelaki di hadapan menusuk tanah dengan kayu tugal, membuat lubang-lubang kecil. Kaum wanita menyusul di belakang, menjatuhkan beberapa butir benih ke setiap lubang sebelum menutupnya dengan tanah. Langkahnya berulang-ulang. Tugal, tabur, tutup.

Walaupun kelihatan mudah, menugal memerlukan tenaga dan kerjasama yang baik. Di bawah terik matahari, peluh mengalir tapi rasa penat hilang bila terdengar gurauan, nyanyian serta tawa ria mereka yang sedang kuat bekerja.

Sekitar tengah hari, kerja dihentikan sebentar. Semua berkumpul di bawah teduhan pokok besar. Hidangan nasi dengan lauk pauk tradisional seperti ikan salai, sayur pucuk ubi, sambal belacan dan air kopi kampung menjadi penguat tenaga. Makan bersama terasa seperti pesta kecil.

Di setiap lubang tanah yang ditugal, bukan hanya benih padi yang ditanam tapi juga doa agar hujan turun tepat pada masanya, tanah terus subur serta anak cucu kelak masih tahu bau tanah huma. Semoga warisan ini akan terus hidup selama hayat masih dikandung badan.

Wednesday, 13 August 2025

Musim Kemarau Tiga Bulan: Cabaran & Keindahan yang Tersembunyi

 


Tiga bulan sudah kampung kami disinari matahari tanpa henti. Langit membiru tanpa awan seolah-olah enggan menurunkan setitik hujan pun. Setiap hari, tanah merekah semakin dalam, rumput bertukar kekuningan dan sungai yang dulu deras kini sekadar beralun kecil.

Musim kemarau membawa dugaan yang tidak kecil. Setiap hari, matahari muncul awal dan pergi lewat. Panasnya bukan sekadar di kulit tapi terasa sampai ke dalam tulang. Sumber air semakin berkurang memaksa kami berjimat setiap titis. Petani terpaksa menangguh penanaman padi walaupun huma sudah berjaya dibakar. Kebun sayur perlu disiram dengan air simpanan yang sedikit. Panas yang membahang membuatkan kerja luar rumah menjadi lebih cepat meletihkan. Anak-anak tidak lagi bermain lama di halaman. Mereka mencari teduhan di bawah rumah, mengipas diri dengan apa sahaja yang ada.

Namun di sebalik semua cabaran itu, musim kemarau juga menghadirkan keindahan yang tersendiri. Air sungai yang menjadi cetek membuat ikan-ikan semakin jinak. Mereka berenang perlahan di celah batu, seolah-olah tidak takut pada manusia. Batu-batu di dasar sungai kini berwarna hijau, diselaputi lumut yang licin dan berkilau di bawah cahaya matahari. Anak-anak sangat teruja kerana dapat berenang hingga ke seberang sungai. Berendam berjam-jam pun tidak diendah kerana air yang menyejukkan badan ketika panas terik.

Matahari terbenam kelihatan lebih memukau. Langit diwarnai jingga, merah dan ungu yang berlapis-lapis. Malam pula membawa bintang yang lebih jelas, seolah-olah taburan berlian di hamparan gelap. Udara yang kering membuat bunyi malam kedengaran lebih jernih dengan bunyi unggas, dan desir angin yang perlahan di celah daun kering.

Dari sini kami belajar bahawa kemarau bukan sekadar tentang kekurangan air tetapi tentang kesabaran dan kemampuan mencari keindahan walau dalam keadaan yang mencabar. Seperti kata pepatah lama, “Setiap musim, walau sekeras mana, tetap ada hadiah yang dibawanya.”