Di kampung, bunyi ayam berkokok menjadi alarm semula jadi. Pagi-pagi, kabus masih melekat di puncak bukit dan udara segar yang menyapa membuatkan semangat berkobar. Hari ini bukan hari biasa. Hari ini adalah hari menugal huma.
Bagi yang belum tahu, menugal ialah cara tradisional menanam padi bukit. Kaedah ini digunakan sejak zaman nenek moyang kami. Tiada mesin, tiada jentera moden. Hanya kayu tugal, benih padi, dan gotong-royong penduduk kampung.
Seawal subuh, kaum lelaki sudah mengasah hujung kayu tugal iaitu sebatang kayu panjang dengan hujung runcing yang digunakan untuk membuat lubang di tanah. Kaum wanita pula sibuk menimbang dan membahagi benih padi ke dalam bakul rotan. Semuanya dilakukan sambil bergurau dan ketawa. Suasana ketika ini menjadi riuh tapi penuh mesra.
Apabila matahari mula naik, barisan penugal sudah tersusun. Lelaki di hadapan menusuk tanah dengan kayu tugal, membuat lubang-lubang kecil. Kaum wanita menyusul di belakang, menjatuhkan beberapa butir benih ke setiap lubang sebelum menutupnya dengan tanah. Langkahnya berulang-ulang. Tugal, tabur, tutup.
Walaupun kelihatan mudah, menugal memerlukan tenaga dan kerjasama yang baik. Di bawah terik matahari, peluh mengalir tapi rasa penat hilang bila terdengar gurauan, nyanyian serta tawa ria mereka yang sedang kuat bekerja.
Sekitar tengah hari, kerja dihentikan sebentar. Semua berkumpul di bawah teduhan pokok besar. Hidangan nasi dengan lauk pauk tradisional seperti ikan salai, sayur pucuk ubi, sambal belacan dan air kopi kampung menjadi penguat tenaga. Makan bersama terasa seperti pesta kecil.
Di setiap lubang tanah yang ditugal, bukan hanya benih padi yang ditanam tapi juga doa agar hujan turun tepat pada masanya, tanah terus subur serta anak cucu kelak masih tahu bau tanah huma. Semoga warisan ini akan terus hidup selama hayat masih dikandung badan.
No comments:
Post a Comment