Wednesday, 24 September 2025

Penuh Rumah Kalau Berkumpul Bersama

 



Kalau cerita pasal kampung, memang tak akan pernah habis. Paling buat rindu bila semua keluarga dapat berkumpul sekali. Rumah penuh dengan anak, cucu, menantu dan saudara mara. Suasana tu memang tak boleh nak diganti dengan apa-apa. Bila semua balik, suasana akan terus berubah jadi macam pasar malam. Riuh dan bising tapi bahagia.

Bayangkan bila makan. Masak nasi satu periuk memang tak cukup. Terpaksa masak dua periuk besar baru semua orang kenyang. Lauk pula tak payah mewah-mewah, janji cukup. Ada ikan goreng, sayur kampung atau sambal cili pun dah sedap sangat. Lagi-lagi makan sama-sama, duduk bersila ramai-ramai atas lantai. Apa yang ada, itulah yang dikongsi. Di kampung bukannya ada kedai nak beli lauk lebih, jadi apa yang ada di dapur atau hasil kebun, itulah yang dijadikan hidangan. Dan anehnya, semua orang makan dengan selera yang luar biasa.

Lepas makan, mula lah suasana jadi meriah lagi. Ada yang duduk bersembang, ada yang main daun terup, ada juga yang sibuk di dapur kemas periuk belanga. 

Bila malam, cabaran paling besar adalah tidur. Rumah tak besar mana, tapi orangnya ramai. Semua sudut rumah penuh dengan tilam, bantal, tikar, selimut. Kadang-kadang sampai berebut bantal, ada yang dapat selimut nipis, ada yang tidur tak beralas. Tapi itulah keseronokan dia. Tidur rapat-rapat, sambil bercerita kisah hantu atau pengalaman lucu. Gelak tak berhenti-henti sampai ada yang tertidur dulu. Suasana tu memang lain macam, hangat dengan kasih sayang.

Esok pagi pula, belum subuh lagi sudah ada bunyi orang sibuk di dapur. Ada yang masak air, ada yang siapkan sarapan. Bila budak-budak bangun, dapur kembali menjadi riuh dan bau kopi menyambut pagi. Indah sungguh.

Bila duduk di bandar, terus rasa rindu suasana macam tu. Rindu riuh rendah, rindu rumah yang penuh sesak dengan orang, rindu makan lauk kampung yang ringkas tapi sedap bila dimakan beramai-ramai. Hidup di kampung memang sederhana tapi nilainya luar biasa.

Harap satu hari nanti dapat berkumpul lagi macam dulu. Boleh makan sama-sama, tidur berhimpit, berebut bantal dan dengar suara budak-budak ketawa sampai malam. Rasa bahagia yang akan kita simpan sampai bila-bila.




Thursday, 18 September 2025

Leket: Ikan Sungai Kecil



Bagi sesiapa yang membesar di tepi sungai, terutama di kawasan pedalaman, nama ikan leket pasti tidak asing lagi. Walaupun saiznya kecil, ikan ini penuh dengan cerita dan makna. Bagi kami di Sungai Akah, leket bukan sekadar ikan tetapi sebahagian daripada memori zaman kanak-kanak.

Leket mempunyai bentuk badan yang pelik tapi menarik. Kepalanya leper, badannya tirus, dan siripnya besar serta melebar seakan-akan penyedut. Dengan kelebihan ini, leket mampu melekat kuat pada batu walaupun air sungai deras. Warnanya pula coklat gelap dengan corak samar menjadikannya pandai menyamar di celah batu.

Kenangan paling indah ialah ketika musim kemarau. Air sungai menjadi cetek dan jernih, batu-batu di jeram jelas kelihatan. Inilah masa yang kami tunggu-tunggu untuk menangkap leket beramai-ramai.

Bersama kawan-kawan sekampung, kami membawa tangguk atau dalam bahasa Kenyah disebut sikep. Kami akan menyusuri jeram, mengangkat batu-batu kecil, lalu menahan sikep. Biasanya beberapa ekor leket akan terperangkap. Walaupun kecil, perasaan puas dan seronok ketika berjaya menangkapnya memang tiada tandingan.

Leket yang terkumpul boleh digoreng garing atau dimasak dengan garam dalam daun. Rasanya manis dan lembut, ciri khas ikan sungai asli. Kadang-kadang, hasil tangkapan tidak banyak tapi cukup untuk jadi lauk makan bersama keluarga.

Dalam Sains, ikan leket dikaitkan dengan kumpulan goby (Gobiidae) atau loach (Balitoridae) iaitu ikan kecil yang hidup di sungai berbatu dan berarus deras. Yang menariknya, ikan ini dianggap bioindikator atau penunjuk kesihatan sungai.

Leket hanya hidup di air yang jernih, sejuk, dan kaya oksigen. Ia sangat sensitif terhadap pencemaran. jika sungai mula tercemar atau berlumpur, populasi leket akan cepat berkurangan. Kehadiran banyak ikan leket di sesuatu kawasan menandakan sungai tersebut masih bersih dan ekosistemnya sihat. Jadi, setiap kali kami menjumpai ikan leket, itu bukan sahaja rezeki untuk dijadikan lauk tetapi juga petanda bahawa sungai kami masih hidup dan masih terjaga.

Hari ini, mungkin tidak ramai lagi generasi muda yang mengenali ikan leket. 
Bila dikenang kembali, rasa rindu dengan kenangan zaman kecil-kecil dulu menerpa kembali. Seronoknya memang sesuatu yang tidak dapat diganti.

 

Monday, 8 September 2025

Sungai Akah Mengganas Lagi



7 September 2025, Sungai Akah sekali lagi mengganas. Malam itu, hujan turun dengan lebat tanpa henti. Deruan arus bagaikan suara marah alam yang tak mampu ditahan. Abang dan kakak terpaksa bersengkang mata menjaga perahu, takut hanyut dibawa arus deras.

Bukan Sungai Akah sahaja, sungai kecil Keluan di belakang rumah pun ikut membesar. Keluarga ketika itu risaukan ternakan ayam dan babi yang seolah mengerti bahaya yang sedang mengintai.

Saat fajar menyinsing, air mulai surut, meninggalkan luka di tebing. Batang kayu besar terdampar, meja tempat kami selalu berkumpul di tepi sungai sudah lenyap dan perahu pula tersadai jauh dari tempat asalnya.

Keadaan ini mengingatkan kami kepada peristiwa banjir besar pada tahun 2004, ketika air sungai benar-benar menenggelami halaman rumah. Banyak perahu yang hanyut, sawah dan huma ditenggelami air dan harta benda penduduk dibawa arus yang deras.

Peristiwa seperti ini mengingatkan kita bahawa sungai bukan sekadar aliran air, tetapi kuasa alam yang mampu memberi rezeki dan dalam sekelip mata meragut ketenangan. Namun, kesyukuran tidak lupa dipanjat kerana semuanya berada dalam keadaan yang selamat.