Bagi sesiapa yang membesar di tepi sungai, terutama di kawasan pedalaman, nama ikan leket pasti tidak asing lagi. Walaupun saiznya kecil, ikan ini penuh dengan cerita dan makna. Bagi kami di Sungai Akah, leket bukan sekadar ikan tetapi sebahagian daripada memori zaman kanak-kanak.
Leket mempunyai bentuk badan yang pelik tapi menarik. Kepalanya leper, badannya tirus, dan siripnya besar serta melebar seakan-akan penyedut. Dengan kelebihan ini, leket mampu melekat kuat pada batu walaupun air sungai deras. Warnanya pula coklat gelap dengan corak samar menjadikannya pandai menyamar di celah batu.
Kenangan paling indah ialah ketika musim kemarau. Air sungai menjadi cetek dan jernih, batu-batu di jeram jelas kelihatan. Inilah masa yang kami tunggu-tunggu untuk menangkap leket beramai-ramai.
Bersama kawan-kawan sekampung, kami membawa tangguk atau dalam bahasa Kenyah disebut sikep. Kami akan menyusuri jeram, mengangkat batu-batu kecil, lalu menahan sikep. Biasanya beberapa ekor leket akan terperangkap. Walaupun kecil, perasaan puas dan seronok ketika berjaya menangkapnya memang tiada tandingan.
Leket yang terkumpul boleh digoreng garing atau dimasak dengan garam dalam daun. Rasanya manis dan lembut, ciri khas ikan sungai asli. Kadang-kadang, hasil tangkapan tidak banyak tapi cukup untuk jadi lauk makan bersama keluarga.
Dalam Sains, ikan leket dikaitkan dengan kumpulan goby (Gobiidae) atau loach (Balitoridae) iaitu ikan kecil yang hidup di sungai berbatu dan berarus deras. Yang menariknya, ikan ini dianggap bioindikator atau penunjuk kesihatan sungai.
Leket hanya hidup di air yang jernih, sejuk, dan kaya oksigen. Ia sangat sensitif terhadap pencemaran. jika sungai mula tercemar atau berlumpur, populasi leket akan cepat berkurangan. Kehadiran banyak ikan leket di sesuatu kawasan menandakan sungai tersebut masih bersih dan ekosistemnya sihat. Jadi, setiap kali kami menjumpai ikan leket, itu bukan sahaja rezeki untuk dijadikan lauk tetapi juga petanda bahawa sungai kami masih hidup dan masih terjaga.
Hari ini, mungkin tidak ramai lagi generasi muda yang mengenali ikan leket.
Bila dikenang kembali, rasa rindu dengan kenangan zaman kecil-kecil dulu menerpa kembali. Seronoknya memang sesuatu yang tidak dapat diganti.
No comments:
Post a Comment