Mendiang bapa saya akhirnya terpaksa memasang pagar berduri di sekeliling rumah untuk mengelakkan lembu tersebut daripada masuk. Kalau lembu ini berjaya masuk ke kawasan rumah, habislah pakaian kami! Baju dan seluar yang tersidai di ampaian pasti menjadi mangsa. Ibu pula terpaksa berkebun di kawasan yang jauh dari rumah kerana tanaman di halaman sering dimusnahkan oleh lembu tersebut.
Setiap kali hendak ke pengkalan, kami perlu berhati-hati—menoleh kiri dan kanan—takut-takut terserempak dengan lembu. Lebih-lebih lagi kalau memakai baju merah! Lembu itu memang pantang nampak warna merah, ia pasti mengejar.
Saya masih ingat satu insiden yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Pada suatu hari, saya dan adik-adik memanjat pokok jambu kerana mahu makan buahnya. Dari jauh, lembu itu sudah nampak kami. Dengan pantas, ia berlari ke arah pokok jambu. Dalam keadaan panik dan ketakutan, saya terus terjun dari pokok. Malangnya, kaki saya tersangkut pada dahan pokok, dan paha saya terluka.
Lembu itu bukan sahaja ditakuti oleh kami, malah penduduk kampung yang lain! Tidak ramai yang berani singgah di Naa Buat. Pernah ada orang yang berkemah di kerangan (tepi sungai) menjadi mangsa lembu ini. Apabila mereka bangun pagi, pakaian mereka yang dijemur habis hilang—dimakan oleh lembu!
Namun, ada sesuatu yang unik tentang lembu ini—ia sangat jinak dengan mendiang datuk. Setiap kali datuk mengusap kepala lembu, haiwan itu akan duduk tenang dan kadangkala tertidur.
Walaupun kenangan bersama lembu ini banyak yang menakutkan, ada juga saat-saat menyeronokkan. Kadang-kadang, saya dan adik-adik sengaja mengusik lembu supaya ia mengejar kami. Kami akan berlari sekuat hati menuju ke pagar rumah, ketawa dalam ketakutan.
Riuh Naa Buat setiap kali lembu terlepas masuk ke kawasan rumah. Bapa dan abang-abang akan kelam-kabut mengusirnya keluar.
Walaupun lembu itu membawa banyak cabaran, ia tetap menjadi sebahagian daripada kenangan manis zaman kanak-kanak kami. Kehadirannya, walaupun mengundang kekecohan, memberikan warna dalam hidup kami di kampung.
(˶˙ᵕ˙˶) 〜♡
ReplyDelete