Monday, 9 December 2024

Tempat Sederhana: Lepau di Data Lesung

Gambar pondok pada tahun lepas, Februari 2023


Lepau di sawah Data Lesung menyimpan banyak kenangan. Dibina oleh mendiang bapa saya pada 5 November 1995 iaitu 29 tahun yang lalu ketika saya baru berumur 7 tahun. Sehingga kini, lepau ini masih berdiri teguh dan tetap bertahan. 

Di sinilah kami menghabiskan waktu selepas penat bekerja di sawah, menikmati saat-saat istirahat yang penuh makna dan disini jugalah tempat kami berteduh dari panas terik cahaya matahari serta hujan semasa musim menanam dan menuai padi. Suasana di pondok sawah tidak pernah gagal memberikan rasa damai—dikelilingi oleh hamparan sawah hijau yang luas, udara segar, dan bunyi gemersik daun padi yang ditiup angin.

Semasa berehat tengah hari pada musim menuai, kami akan berkumpul di lepau untuk berehat. Emak akan menyediakan makanan di dalam lepau ini untuk kami. Walaupun hidangannya ringkas, makan bersama di lepau dengan pemandangan sawah yang indah menjadikan segalanya terasa istimewa.

Biasanya, selepas makan tengah hari, kami akan berlari ke sungai untuk mandi kerana cuaca yang panas. Di sungai, kami turut membasuh peralatan yang kami gunakan untuk makan kerana di lepau tidak ada air paip. Setelah puas mandi, kami akan kembali sambung menuai lagi. Ketika itu, walaupun masih kecil, kami sudah pandai menuai padi.

Kadang-kala, ketika di sawah, saya selalu berharap agar hujan turun 😂😂😂 kerana ingin cepat pulang ke rumah. Ada diantara kami yang berlakon sakit, ada yang bagi alasan balik ke lepau sekejap untuk minum air tapi tidak balik-balik semula dan ada yang tiba-tiba rajin memasak. 

Lepau ini penuh dengan kenangan kecil yang menggembirakan. Suasana yang sederhana dan sangat tenang membuat hati sentiasa terasa rindu untuk terus menikmatinya. 

Saya bersyukur kerana sehingga hari ini saya dan adik-beradik masih dapat menikmati suasana ini.

No comments:

Post a Comment