
Setiap petang, saya dan adik-beradik akan berlari ke sungai dengan penuh semangat. Kami sering berlumba-lumba terjun ke air, mencetuskan percikan yang besar sambil ketawa gembira. Ada kalanya, kami akan berlumba berenang untuk sampai ke seberang atau menggunakan perahu. Tapi, apabila melihat kelibat mendiang bapa, kami terus takut dan berpura-pura mandi di tempat yang cetek.
Selain bermain, mandi sungai juga menjadi saat untuk menyegarkan diri. Tidak ada yang lebih nikmat daripada merendam badan di dalam air sejuk yang mengalir perlahan, sambil mendengar bunyi burung dan desiran angin di antara pokok-pokok hutan. Rasanya seperti seluruh penat lelah hilang dibawa arus.
Ketika matahari mulai terbenam, suasana di sungai menjadi lebih damai. Kami sering duduk di atas batu besar di tepi sungai, mengeringkan badan sambil berbual dan menikmati pemandangan yang indah. Warna jingga dari langit senja terpantul di permukaan air, mencipta pemandangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Kini, setiap kali saya merindukan kampung halaman, saya selalu teringat akan sungai itu—jernihnya, sejuknya, dan suasana cerianya. Saya merasa gembira anak-anak serta anak buah saya masih dapat merasakan tempat dan suasana seperti ini. Setiap tahun, mereka pasti tidak sabar menunggu cuti sekolah untuk balik ke kampung dengan tujuan utama iaitu mandi di sungai. Seperti saya dan adik-beradik, anak-anak dan anak buah saya semuanya belajar berenang di Sungai Akah. 😊😊

No comments:
Post a Comment