Thursday, 2 January 2025

Bunga-Bunga Liar: Permata Tersembunyi di Kampung







Pagi ini, cuaca sangat sejuk sekali. Jadi, secawan kopi untuk kehangatan menjadi pilihan. Sambil menghirup kopi, saya tiba-tiba teringat akan suasana awal pagi di kampung. Seperti biasa, emak adalah orang pertama yang akan bangun. Dia akan terus ke dapur untuk menjerang air. Kemudian, memberi makan haiwan ternakan. Suasana pagi memang sudah riuh dengan bunyi ayam berkokok, babi meminta makan dan burung berkicauan. Namun, bunyi-bunyi ini tidak pernah mengganggu. Malah saya semakin nyenyak tidur. 😂

Salah satu perkara yang paling membangkitkan nostalgia ialah bunga-bunga liar yang tumbuh di sepanjang jalan dan di tanah lapang. Walaupun kecil dan sederhana, bunga-bunga liar ini adalah bahagian penting dalam landskap di kampung.

Bunga liar ini tumbuh tanpa perhatian, tanpa baja, dan tanpa tangan yang menyiram, tetapi mereka tetap mekar dengan indah. Ada yang tumbuh berkelompok, membentuk hamparan warna yang memukau, dan ada yang berdiri sendiri di antara semak-semak, seolah-olah menyatakan kekuatannya untuk hidup dalam kesendirian. Setiap satunya memiliki kecantikan yang tersendiri.

Setiap pagi, apabila kabus masih meliputi, bunga-bunga liar ini kelihatan segar, dihiasi titisan embun yang berkilauan di bawah cahaya matahari. Ada bunga dengan kelopak kuning cerah, ungu lembut, merah jambu, dan putih bersih—semuanya tumbuh tanpa penjagaan.

Di bandar, jarang sekali menemui bunga liar seperti ini. Kawasan hijau yang semakin berkurangan telah meragut kehadiran mereka. Tetapi di kampung, bunga-bunga liar tetap setia menghiasi setiap sudut, mengingatkan kita bahawa alam mempunyai cara tersendiri untuk menunjukkan keindahannya.

Mereka melambangkan keaslian dan kesederhanaan hidup di kampung. Kehadiran mereka seolah-olah memberi pesan bahawa keindahan sejati sering kali ada dalam perkara-perkara kecil yang sering kita abaikan.

😊 Bagaimana dengan anda? Pernahkah bunga-bunga liar di kampung memberi inspirasi atau kenangan kepada anda?

No comments:

Post a Comment