Thursday, 2 January 2025

Aroma Nostalgia Dapur Kayu Naa Buat

 

Ama' di dapur Naa Buat (1997)

Ama', saya sendiri (Felicia) dan kakak Maureen Paya.

Nah...siapa yang pernah alami kehidupan begini? Mesti rindukan? 😄

Memasak di dapur kayu bersama keluarga merupakan salah satu kenangan zaman kecil yang sentiasa tersemat di hati saya. Dahulu, dapur kayulah tempat di mana bukan sahaja makanan disediakan, tetapi juga cerita, tawa, dan kasih sayang dikongsi bersama.

Saya masih boleh membayangkan bau asap kayu yang perlahan-lahan memenuhi ruang dapur setiap kali api dinyalakan. Bunyi kayu yang berderak menjadi irama yang akrab di telinga saya. Ketika itulah, kami sekeluarga berganding bahu, menyiapkan bahan-bahan masakan dengan penuh semangat. Antara resipi yang wajib ketika itu ialah lerek (bubur) ayam kampung. Kami adik-beradik pasti akan berkumpul melihat mendiang bapa menyembelih serta memotong ayam tersebut. Masing-masing sudah 'reserved' bahagian mana yang disukai. Sampai bergaduh. 😂

Memasak di dapur kayu bukan sekadar tugas harian; ia adalah satu seni. Api perlu dikawal dengan teliti—terlalu kuat, makanan akan hangus; terlalu perlahan, masakan akan mengambil masa yang lama. Saya sering melihat kakak, emak dan mendiang bapa saya begitu mahir menyusun kayu dan meniup bara sehingga nyala apinya sempurna. Kadang-kadang saya turut mencuba, tetapi selalu saja habis dengan muka dan tangan dipenuhi jelaga.

Antara momen paling indah adalah ketika kami masih makan menggunakan 'gasak' iaitu piring/talam besar. Ketika itu, tidak ada meja makan dan kerusi. Kami sama-sama duduk di lantai dan berebut menghabiskan nasi dengan bertemankan cahaya dari pelita. Sambil makan, ada saja cerita yang keluar dari mulut mendiang bapa yang membuat kami ketawa.

Hari ini, apabila saya melihat dapur moden yang lengkap dengan teknologi canggih, ada rasa rindu yang sukar digambarkan. Segala kemudahan ini memang memudahkan hidup, tetapi tidak dapat menggantikan kenangan manis dan kehangatan yang pernah saya alami di dapur kayu.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda juga merindui kenangan memasak bersama keluarga? Kenangan seperti ini mengingatkan kita bahawa kebahagiaan sebenar sering kali datang dari perkara yang sederhana dalam hidup.

No comments:

Post a Comment