Salah satu kenangan masa kecil yang sentiasa tersemat di ingatan saya ialah ketika setiap kali hari Minggu tiba, suasana di Naa Buat menjadi lebih meriah. Sejak pagi, ramai keluarga yang sudah berkumpul di Naa Buat untuk sembahyang bersama. Hari itu bukan sekadar waktu untuk beribadah, tetapi juga saat di mana keluarga dari berbagai tempat datang dan berkumpul.
Ada yang datang dari Data Lesung, Lung Tela'a dan Naa Buat Hilir. Mereka datang berjalan kaki atau menaiki perahu kecil menyusuri sungai. Saya masih ingat bagaimana suara riuh anak-anak yang bermain di halaman dan suara orang-orang tua bercerita setelah lama tidak bertemu.
Walaupun tidak dapat pergi ke gereja untuk sembahyang, kami masih tetap berdoa bersama-sama dengan diketuai oleh mendiang bapa saya. Ketika semua sudah bersedia, kami segera naik ke bilik khas yang telah disediakan oleh mendiang bapa untuk kami berdoa. Bilik tersebut telah diberkati oleh Father Jacobse. Saya selalu suka duduk di samping emak, mendengar suaranya yang lirih tapi penuh ketulusan. Setelah ibadah selesai, kami semua berkumpul semula di bawah, bertukar cerita sambil menikmati makanan yang telah disediakan oleh emak.
Kami anak-anak biasanya lebih meriah lagi kerana masa tersebut adalah peluang untuk kami bermain sama-sama. Kami akan memanjat pokok belimbing atau jambu batu untuk dimakan dengan cili. Ada yang teruja membaca koleksi komik kami yang berkotak-kotak dikirim oleh abang saya. Komik tersebut menjadi bahan bacaan kami setiap hari. Antaranya, Dewata Raya dan Pedang Setiawan.
Setiap Minggu seperti ini adalah waktu yang paling saya nantikan suatu masa dahulu. Bukan hanya karena ibadah, tetapi juga karena rasa kekeluargaan yang begitu kuat. Kini, meskipun waktu telah berlalu dan banyak hal berubah, kenangan tentang hari Minggu di Naa Buat tetap hidup dalam ingatan—sebuah memori indah tentang kebersamaan, tradisi, dan kasih sayang yang tak tergantikan. 😉