Tuesday, 4 February 2025

Gotong-Royong di Naa Buat: Dari Membersihkan Ranting hingga Membina Denai





Percutian di kampung kali ini bukan sahaja tentang bersantai dan menikmati keindahan alam, tetapi juga tentang bekerjasama dalam melakukan aktiviti bermanfaat.

Hari pertama di kampung, kami bergotong-royong mengumpul dan membuang ranting pokok yang telah ditebang di belakang rumah. Mereka yang mahir menggunakan 'chainsaw' ditugaskan untuk memotong ranting pokok yang masih besar supaya lebih mudah dikumpulkan. Ada yang bertugas mengumpulkan ranting-ranting kecil ke satu tempat supaya mudah untuk dibuang. Yang lain pula membantu mengangkat ranting dan dahan besar ke kawasan pembuangan yang telah ditetapkan.

Selepas membersihkan kawasan dengan mengumpul dan membuang ranting pokok yang ditebang, kami meneruskan gotong-royong dengan mengumpul batu dan pasir untuk membina denai. Proses membina denai ini mengambil masa seminggu untuk disiapkan. Denai ini dibuat bagi memudahkan laluan dari pengkalan menuju ke rumah dan membantu mengelakkan tanah becak ketika musim hujan.

Anak-anak ditugaskan untuk mengutip batu dari kawasan sungai. Batu pelbagai saiz dikumpulkan dalam kereta sorong dan diangkut ke tempat yang dirancang untuk dijadikan denai. Batu tersebut disusun rapi membentuk laluan. Kemudian, pasir dan batu kecil digunakan untuk menutup celahnya agar kukuh dan rata.

Walaupun tugas ini agak mencabar, suasana tetap ceria. Ada yang bersungguh-sungguh menyusun batu, ada yang sibuk mengangkut pasir, dan ada juga yang menjadi ‘penyelia’ sambil memberi arahan dari tepi. Anak-anak kecil pula teruja bermain dengan pasir, seolah-olah membantu dalam "projek besar" ini. 😂

Percutian di kampung kali ini bukan sekadar pulang untuk berehat, tetapi juga menyumbang kepada sesuatu yang lebih bermakna. Gotong-royong membersihkan ranting pokok dan membina denai bukan sahaja menjadikan kawasan lebih kemas, tetapi juga memperkuat semangat kerjasama dan kekeluargaan. Momen ini pasti akan dikenang dan menjadi inspirasi setiap kali pulang bercuti.🥰🥰


No comments:

Post a Comment