Thursday, 2 January 2025

Kenangan Masa Kecil: Tarian U'doq di Rumah Panjang Long Tap

 



Kenangan masa kecil di rumah panjang Long Tap tidak lengkap tanpa menyebut tarian U'doq yang sering diadakan semasa perayaan. Tradisi ini adalah elemen penting dalam memeriahkan suasana dan mengukuhkan hubungan antara penduduk rumah panjang. Namun, tarian U'doq yang saya kenali ketika itu sudah mengalami perubahan dimana, ianya bukan lagi sebahagian daripada ritual kepercayaan lama, tetapi lebih kepada sebuah persembahan budaya yang memeriah dan menceriakan suasana kerana penduduk Long Tap sudah menganuti agama Kristian.

Semasa tarian U'doq ini, orang-orang tua akan mengenakan topeng-topeng menakutkan yang menjadi ciri khas U'doq, dan mereka akan menari dari bilik ke bilik di sepanjang rumah panjang. Irama gong dan paluan kayu tetap mengiringi langkah mereka, mencipta suasana yang penuh semangat dan kegembiraan.

Dahulu, sebelum kedatangan agama Kristian, tarian U'doq membawa makna yang lebih mendalam. Orang-orang tua sering bercerita bahawa topeng-topeng yang menyeramkan ini adalah simbolik yang mewakili roh penjaga atau makhluk mitos yang dipercayai melindungi komuniti. Gerakan tarian dan topeng ini dianggap mampu menolak bala, memohon keberkatan, dan memperkuatkan hubungan dengan nenek moyang.

Walaupun kepercayaan itu telah berubah, tarian U'doq tetap menjadi sebahagian daripada identiti budaya ketika itu. Ia mengingatkan kita tentang asal-usul dan tradisi yang pernah menjadi sebahagian besar kehidupan nenek moyang kita. 

Namun, kini semuanya sudah hilang bersama waktu yang terus berlalu. Apabila mengenang kembali masa-masa dulu, saya sedar betapa berharganya setiap kenangan tersebut. Sebagai kanak-kanak, saya merasa bertuah kerana sempat melihat tradisi tersebut secara langsung. 

Selamat membaca!






No comments:

Post a Comment