Wednesday, 5 March 2025

Nikmati Hasil Alam: Sayur-Sayuran Segar yang Boleh Ditemui di Kampung


Apakah salah satu bahagian terbaik hidup di kampung? Semestinya, kekayaan sayur-sayuran segar yang boleh dipetik terus dari kebun atau ladang. Sama ada di tanam sendiri atau tumbuh liar, apabila sayur-sayuran tersebut dituai atau dipetik, seperti ada satu perasaan yang sangat memuaskan dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata melihat hasilnya.

Di kebanyakan kampung, pelbagai jenis sayur sangat mudah didapati seperti pucuk paku, daun ubi dan cendawan. Sayur ni tumbuh liar di tepi sungai atau di ladang dan menjadi kegemaran ramai. Pucuk paku kalau ditumis belacan, memang mantap sekali. Daun ubi pula kalau dicampur dengan kulit 🐷, boleh tambah nasi berpinggan-pinggan. Cendawan biasanya emak saya masak 'lerek' (bubur). Cendawan ditumbuk dahulu sehingga halus yang membuat aromanya sangat wangi.

Selain itu, ada juga sayur-sayuran yang ditanam sendiri seperti terung asam, sawi, timun dan banyak lagi. Terung asam antara sayur yang sangat digemari kerana rasanya yang masam. Dibuat sup dengan ikan atau ayam, memang sangat menyelerakan. Sawi kampung juga tiada kalah sedapnya. Saya teringat saja, memang meleleh air liur. 😂

Semua sayur-sayur ini bukan saja dapat diperolehi dengan mudah dan percuma, tetapi juga sangat segar dan menyihatkan kerana bebas dari racun. 

Jika anda belum mengalami pengalaman memetik sayur-sayuran seperti ini, pastikan untuk berjalan-jalan melalui kebun, ladang atau hutan di kampung . Anda akan kagum dengan pelbagai sayur-sayuran segar yang menunggu untuk dipetik. Dan siapa tahu? Mungkin anda juga akan mencipta kenangan anda sendiri dengan tangan yang kotor dengan lumpur, kegembiraan memetik hasil tuaian, dan kepuasan menikmati hidangan yang benar-benar dari ladang ke meja. 🥰

 

No comments:

Post a Comment